4 Sebab Beli Rumah Selepas COVID-19 Jika Anda Mampu

Beli Rumah Selepas COVID-19 Jika Anda Mampu

Ada yang berpendapat, kita patut elak beli rumah sewaktu ekonomi sedang bermasalah lebih-lebih lagi beli rumah selepas COVID-19 ini.

Artikel daripada The EdgeProperty Lim Boon Ping, Presiden MIEA, harga hartanah dijangka menurun sebanyak 20% dalam beberapa bulan hadapan dengan peralihan pasaran penjual (seller’s market) kepada pasaran pembeli (buyer’s market) kesan daripada wabak COVID-19.

BACA: Jangkaan Harga Hartanah Menurun 20% Akibat COVID-19

Jika anda berkemampuan dan sememangnya mencari rumah untuk dibeli sebelum COVID-19 lagi, mungkin ini ialah masa yang sesuai.

#1 – Kadar faedah bank yang rendah ketika ini

Sekarang, pasaran hartanah sedang berada dalam posisi buyer’s market.

BNM rendahkan OPR, menjadikan kadar faedah (interest) pinjaman rumah antara yang terendah dalam sejarah.

Ramai pakar kewangan menjangkakan kadar faedah pinjaman rumah akan turun serendah 3.5% dalam tempoh 9 bulan akan datang.

Sekarang ni, purata faedah yang bank konvensional tawarkan sekitar 3.8%. Kadar ini lebih rendah kalau dibandingkan dengan kadar faedah pinjaman perumahan kerajaan (LPPSA) iaitu pada kadar 4%.

Dah tentu bagi yang mampu, lihat situasi ini sebagai peluang yang sukar dilepaskan. Pendek kata, sekarang adalah masa terbaik untuk beli rumah selepas COVID-19.

#2 – Rebat, diskaun dan pakej daripada pemaju

Dalam waktu terdesak ini juga, ada pemaju berikan insentif dalam bentuk diskaun dan rebat yang menarik. Ada juga yang menawarkan hartanah yang lengkap dengan hiasan dalaman dan perabot bagi menarik minat pembeli ketika musim mencabar ini.

membeli rumah

#3 – Pemilik rumah yang terdesak

Ramai yang menyangka harga rumah di Malaysia sentiasa naik setiap tahun. Kenyataan ini sebenarnya adalah kurang tepat kerana terdapat keadaan apabila harga rumah menjadi murah disebabkan beberapa faktor.

Faktor yang menyebabkan harga rumah dijual dengan lebih murah adalah seperti penjual terdesak untuk menjual, isu politik semasa, lambakan rumah untuk dijual dan lain-lain lagi.

Keadaan ini menyebabkan penjual terpaksa menggunakan Exit Plan bagi memastikan pelaburan hartanah tersebut tidak merugikan.

Menjual hartanah di bawah harga pasaran merupakan salah satu cara terbaik apabila pemilik hartanah terpaksa bersaing dengan ramai penjual rumah yang lain. Keadaan ini menarik minat pembeli untuk membeli rumah yang dijual dengan lebih cepat.

Mungkin terdapat beberapa desakan yang membuatkan pemilik rumah menjual dengan harga yang rendah dan mencairkan aset rumah mereka.

#4 – Mempunyai simpanan yang lebih

Terutama buat anda yang belum ada rumah dan memang berhajat nak beli rumah, inilah masa anda nak memburu hartanah.

Simpan elok-elok duit KWSP i-lestari tu, duit bayar kereta yang tak terusik selama moratorium 6 bulan tu, boleh dijadikan modal.

BACA: 6 bulan moratorium untuk pinjaman bank (kecuali baki kad kredit)

Duit minyak dan tol pergi ke tempat kerja pun tidak dibelanjankan dan dapat meningkatkan simpanan disebabkan anda bekerja di rumah sewaktu PKP ini.

Secara tak langsung, diwaktu ini simpanan anda akan meningkat dan anda boleh merancang untuk beli rumah selepas PKP.

Jadi kena ada ilmu hartanah untuk cari hartanah yang sesuai untuk dijadikan mesin duit atau kediaman sendiri, dengan harga yang berbaloi-baloi.

Beli masa orang lain tengah rancak menjual

Bagi kebanyakan pelabur hartanah, situasi ini dianggap sebagai peluang terbaik untuk beli rumah selepas COVID-19.

Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu serta pasaran hartanah yang lembap, ramai yang jual rumah untuk kurangkan kerugian.

Masa ni la peluang terbaik untuk anda beli rumah daripada golongan ini.

Sebab tu, dalam dunia pelaburan hartanah, simpanan modal adalah salah satu perkara penting yang pelabur kena jaga. Masa orang sibuk nak jual, kita pulak sibuk nak membeli.

Lagipun, golongan ni adalah lubuk untuk dapatkan rumah below market value. Sebab mereka tengah terdesak nak jual. Gunakan peluang ini sebaiknya.

Tapi ada nasihat saya, jangan jadi seorang yang tamak haloba dengan menindas golongan yang terdesak ini. Jadilah seorang yang ‘penyelamat’ bagi mereka yang sangat memerlukan. Renungkan.

Layak tidak semestinya mampu

Bank luluskan pembiayaan kita bukan kerana kita mampu, tapi kita layak. Tapi sekarang pun bank dah lebih ketat. Agak susah nak lulus.

Jadi, berhati-hati semasa buat keputusan untuk beli rumah, kerana ada juga yang muflis sebab pinjaman perumahan lebih kurang 13% daripada keseluruhan kes.

Elakkan guna maksimum kelayakan untuk beli rumah duduk sendiri. Apatah lagi beli kereta. Lagilah jangan pakai maksimum kelayakan.

Sesiapa yang nak pakai maksimum kelayakan pembiayaan rumah, kena ada sumber pendapatan lain selain yang tertera di payslip.

Ukurlah baju di badan sendiri. Nampak kawan satu pejabat duduk rumah besar padahal gaji sama. Mungkin mereka suami isteri jadi perunding hartanah 🙂

Beli rumah selepas COVID-19?

Menurut pakar kewangan dan hartanah, Faizul Ridzuan, beli rumah sekarang adalah untuk mereka yang tak berdepan dengan masalah kewangan. Maksudnya, korang menepati kriteria seperti berikut: 

  • Masih ada kerja (dan ada gaji) sewaktu krisis COVID-19 ini, 
  • Ada simpanan yang banyak dalam bank, 
  • Mampu tampung perbelanjaan asas (seperti makanan, tempat tinggal, dan sebagainya) untuk meneruskan kelangsungan hidup, dan 
  • Simpanan kecemasan melebihi 6 bulan gaji (atau lebih). 

#stayathome #stayhealty #padaAllahkitaberserah

Setiap ujian yang Allah beri kepada kita tandaNya Allah sayang kita. Allah turunkan wabak covid19 untuk kita sama-sama sedar akan kelalaian kita, maka perbaikilah diri kita!

Dan yakinlah segala yang berlaku ni pasti ada hikmat & ganjaran yang Allah nak bagi untuk semua umatnya, suatu hari nanti. Jadi saya nak kita semua kuat untuk lawan dan tangani ujian ini (duduk di rumah) supaya ia tidak merebak jadi lebih teruk.

Kongsikan Pendapat Anda

CommentLuv badge
shares