81% Pembelian Hartanah Kediaman di Lembah Klang pada 2020 dibuat Pelabur; Rekod Jumlah Transaksi Subsale Tertinggi dalam 5 Tahun

Menurut MyProperty Data, syarikat data hartanah dalam talian terbesar di Malaysia di bawah PropertyGuru, 81.1% pembelian hartanah kediaman di Lembah Klang pada 2020 dibuat pelabur, dan mereka nampaknya lebih menumpukan perhatian kepada hartanah subsale.

Perkongsian itu dibuat Joe Hock Thor, Pengarah Urusan, MyProperty Data yang berkata, “Pasaran hartanah kediaman subsale di Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan trend kenaikan ini semakin dipercepat oleh kesan pandemik. Minat keseluruhan terhadap pasaran sekunder telah meningkat kerana sebilangan pemilik hartanah menjual aset mereka dengan harga yang lebih rendah untuk mengekalkan kecairan, mewujudkan peluang bagi para pelabur untuk memperoleh hartanah di bawah nilai pasaran. Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah juga mendorong sebilangan pelabur untuk menjual aset-aset sedia ada dan memperoleh keuntungan. Hal ini dapat dilihat dari lonjakan jumlah purata penyenaraian subsale yang dijejaki di PropertyGuru.com.my, yang meningkat sebanyak 21.3% antara 2019 hingga 2021.”

Lebih Ramai Pelabur Berbanding Pembeli Rumah Kali Pertama Dalam Transaksi Hartanah

Langgan saluran Telegram saya untuk kemaskini berita baharu pasal property. NAJIB'S CHANNEL

Kemerosotan ekonomi pada 2020 telah menyebabkan jumlah transaksi hartanah kediaman di Lembah Klang menurun sebanyak 47.2%. Walau bagaimanapun, kesannya amat ketara dalam kalangan pembeli rumah kali pertama, yang merangkumi 55.5% daripada jumlah pembelian hartanah di kawasan tersebut pada 2019, namun telah menurun kepada 18.9% pada 2020. Sementara itu, permintaan hartanah kediaman di kawasan itu kekal kuat dalam kalangan pelabur, dengan peningkatan aktiviti pelabur YoY sebanyak 36.6% dari 2019 hingga 2020.

Perubahan trend ini mungkin disebabkan oleh pembeli rumah kali pertama lebih berwaspada terhadap situasi semasa memandangkan komplikasi dan cabaran yang dibawa oleh COVID-19. Ia mendorong mereka untuk mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana membeli rumah boleh menjadi keputusan kewangan yang cukup besar untuk pembeli segmen ini.

Hal ini disokong penemuan dalam PropertyGuru’s Consumer Sentiment Study H1 2021, yang mendapati bahawa 58% rakyat Malaysia berusia antara 22 hingga 29 tahun – usia kebanyakan pembeli rumah kali pertama – berkongsi bahawa mereka menangguhkan hasrat membeli rumah kepada 1 hingga 5 tahun kerana kesan COVID-19 terhadap ekonomi, pekerjaan dan pendapatan.

Kesan COVID-19 Terhadap Jenis Hartanah Yang Dibeli

Kemerosotan ekonomi tahun lalu telah mempengaruhi jualan kediaman dari pembangunan baru dan subsale di Lembah Klang, masing-masing dengan penurunan YoY sebanyak 64.9% dan 41.1%. Penurunan yang ketara dalam transaksi pembangunan hartanah baru mungkin disebabkan oleh kelewatan pelancaran projek baru kerana operasi pembinaan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan pertama.

Pada 2020, pasaran hartanah di Lembah Klang mencatatkan pembelian pembangunan baru terendah sejak lima tahun lepas, dengan penurunan YoY dalam jumlah transaksi dibuat pembeli rumah kali pertama dan pelabur, masing-masing pada 90.6% dan 38%. Sebaliknya, jumlah transaksi pada 2020 untuk hartanah subsale adalah yang terendah untuk pembeli rumah kali pertama (penurunan YoY sebanyak 79.4%), tetapi yang tertinggi untuk pelabur (kenaikan YoY sebanyak 9.6%), dalam tempoh lima tahun yang sama.

Perubahan tingkah laku pembelian ini lebih ketara bagi hartanah atas tanah. Antara 2016 dan 2019, transaksi hartanah subsale dan pembangunan baru masing-masing terbahagi masing-masing sekitar 70% dan 30%. Peratusan ini berubah kepada 84% dan 16% pada 2020. Sementara itu, bagi transaksi hartanah bangunan tinggi, pembahagian antara hartanah subsale dan pembangunan baru tetap konsisten, masing-masing sekitar 80% dan 20% sejak lima tahun lalu.

COVID-19 sememangnya telah mempengaruhi pasaran harta tanah dan trend pembelian hartanah di Malaysia tahun lepas. Bagi bakal pembeli rumah kali pertama yang mempunyai modal tetapi masih ragu-ragu untuk memiliki rumah, mereka memerlukan lebih banyak dorongan dari pemaju dan kerajaan.

Joe berkata, “Untuk membantu memacu industri dan meningkatkan pemilikan rumah, insentif lebih hebat perlu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama – sama ada rebat yang lebih menarik dari pemaju atau bantuan dari kerajaan. Kami amat gembira dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan skim pengecualian duti setem kediaman di bawah Kempen Pemilikan Rumah hingga akhir tahun, kerana kami percaya ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban pembeli rumah, tetapi juga dapat membantu menyokong pemulihan sektor hartanah.”

“Di samping itu, pandemik telah mewujudkan peluang bagi para pelabur untuk memanfaatkan harga hartanah yang lebih rendah, pelbagai insentif yang tersedia, serta kadar faedah yang rendah buat masa ini bagi pembelian aset yang berkualiti untuk simpanan masa depan. Oleh kerana hartanah sering dianggap sebagai instrumen lindung nilai terhadap inflasi, pelaburan aset-aset ini dapat memberikan keuntungan jangka panjang selaras dengan penstabilan dan pemulihan pasaran,” tambahnya.

Langgan saluran Telegram saya untuk kemaskini berita baharu pasal property. NAJIB'S CHANNEL

Kongsikan Pendapat Anda