Al-kisah hakmilik hartanah di Malaysia… Ramai yang keliru..
“Ehh.. Tanah saya Freehold, kenapa pula dalam geran ni tulis Hakmilik Sementara?”
Ada juga yang cakap tanah dia, Leasehold. Bila hantar pada saya, saya lihat Tanahnya pegangan selama-lamanya cuma masih lagi Hakmilik Sementara.
Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini listing jualan rumah.
Memang ada pelbagai jenis hakmilik hartanah dan ramai pun yang tak tau jenis-jenis hakmilik ni. Kalau bahasa mudah, orang kita sebut ‘Geran’ tak kisah apa pun jenis hakmilik. ‘Geran-geran’ ni ada kaitan dengan hakmilik, pegangan dan pengukuran halus ke atas hartanah.
Secara asasnya, bila pemberimilikan hartanah diluluskan, ia akan diberikan samada kepada Hakmilik Pentadbir Tanah atau Hakmilik Pendaftar Negeri.
Hakmilik Pentadbir Tanah diberikan kerana hartanah berkenaan bertaraf Tanah Desa bawah 10 ekar. Rekod geran ini disimpan di Pejabat Tanah & Daerah (PTD). Hakmilik ini biasa disebut “geran mukim”.
Hakmilik Pendaftar Negeri diberikan kerana hartanah berkenaan bertaraf Tanah Bandar atau Tanah Pekan atau Tanah Desa berkeluasan lebih 10 ekar. Rekod geran ini disimpan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Hakmilik Sementara (Qualified Title)
Semua geran awal yang diberi kepada pemilik ini belum diukur halus oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan. Sebab itu dinamakan Hakmilik Sementara. Jika Hakmilik Sementara ini di bawah hakmilik Pentadbir Tanah, ia disebut HSM. Jika Hakmilik Sementara ini di bawah hakmilik Pendaftar Negeri ia disebut HSD.
Jika diikutkan, geran-geran ini perlu diberikan hakmilik muktamad (final title) iaitu hakmilik yang telah diukur halus. Tetapi memandangkan proses untuk mengeluarkan geran yang telah diukur halus mengambil masa yang lama, maka sebab itulah dikeluarkan dahulu geran Hakmilik Sementara.
Dengan geran Hakmilik Sementara ini, pemilik hartanah boleh segera berurusniaga seperti menjual, memajak, menggadai dan sebagainya.
Tujuan Ukur Halus untuk Hakmilik Hartanah
Tujuan ukur halus adalah untuk mendapatkan ukuran muktamad keluasan satu-satu hartanah berkenaan. Kebiasaannya, akan berlaku perubahan luas kepada hakmilik sementara apabila diukur halus untuk mendapatkan hakmilik tetap (final title). Perbezaan ukuran ini akan menyebabkan pengurangan atau penambahan kepada saiz tanah kita, dan secara tak langsung akan menaikkan atau mengurangkan cukai tanah pemilik tersebut.
Hakmilik Tetap (Final Title)
Hakmilik tetap (final title) ini pula diperlukan jika satu-satu pembangunan hendak dilaksanakan di atas tanah berkenaan. Ia bagi memastikan binaan bangunan yang didirikan berada betul-betul di dalam sempadan lot tersebut dan tidak memasuki lot bersebelahan.
Hakmilik-hakmilik yang telah diukur halus dan diberikan hakmilik tetap (final title) akan diberikan nama geran yang berbeza seperti dalam rajah ditunjukkan.
Jika hakmilik Pentadbir Tanah pegangan bebas (freehold), ia dinamakan Geran Mukim. Sebaliknya, jika pegangan pajakan (leasehold), ia dinamakan Pajakan Mukim).
Jika hakmilik Pendaftar Negeri pegangan bebas (freehold), ia dinamakan Geran Negeri. Sebaliknya, jika pegangan pajakan (leasehold), ia dinamakan Pajakan Negeri.
Jadi, lepas ni jangan keliru jika “geran” awal yang diberikan kepada anda adalah Hakmilik Sementara. Ia tetap geran. Hanya tunggu masa sahaja ia ditukarkan kepada hakmilik tetap.
Kenapa Perlu Hakmilik Tetap?
Kenapa perlu nak hakmilik tetap, sedangkan ada hakmilik sementara pun dah ok, nama empunya pun ada tertera dalam hakmilik tersebut.
Sebenarnya, apabila kita mempunyai tanah yang masih lagi hakmilik sementara, keluasan sebenar tanah tersebut belum tetap lagi selagi belum lagi diukur halus oleh Jabatan Ukur & Pemetaan.
Selepas diukur, barulah kita akan mendapat saiz yang betul/ tetap. Ada sesetengah kes saiz tanahnya bertambah dan ada kes saiznya makin kecil.
Ada kes yang terkurang 40%, hampir separuh tanah kurang. Kalau kurang 10% tu memang biasa.
Daripada situ, cukai tanah baru kita akan diubah mengikut keluasan sebenar yang dinyatakan di dalam Hakmilik Tetap.
Kalau nak bina rumah banglo di atas lot banglo, perlu dapat Kebenaran Merancang (KM) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kebenaran Merancang (KM) tidak akan diberikan jika tidak disertakan Hakmilik Tetap. Namun begitu tertakluk juga pada Seksyen-seksyen tertentu di dalam Kanun Tanah Negara (KTN).
Suka baca artikel seperti ini dan banyak lagi? Teruskan membaca artikel-artikel lain di blog saya ini. Sebagai alternatif, ikuti saya di Telegram Channel di sini.
Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini listing jualan rumah.